Menguruskan pekerja yang bermasalah bukan satu kerja yang mudah kepada para majikan di luar sana. Apatah lagi apabila masalah yang dibawa ke pejabat adalah masalah peribadi. Hal peribadi seperti kes perceraian, kematian, dan sebagainya tiada siapa dapat menolong mereka melainkan sokongan moral yang harus diberikan.

Berikut adalah antara faktor perubahan sikap mereka :

1. Pekerja Bosan

Purata tempoh maksimum bagi seseorang pekerja berada di sesuatu unit dengan melakukan kerja yang sama ialah 2 tahun. Pekerja muda (gen-Y) terutamanya cenderung untuk mencuba sesuatu yang baharu selepas tempoh tersebut.

Majikan harus memastikan pekerja tidak bosan menjalankan tugas yang sama setiap hari, kerana mereka akan mencari cabaran baharu di organisasi lain.

2. Gangguan

Berdasarkan kajian yang telah dibuat, antara gangguan yang sering berlaku di tempat kerja adalah mesyuarat yang tak dirancang, panggilan telefon, suasana bising dari pekerja lain dan sebagainya.

3. Pekerja Hilang Kepercayaan Kepada Majikan

Tanda-tanda pekerja yang hilang kepercayaan terhadap majikan, apabila mereka tidak mengikut peraturan, tidak menepati masa, dan mempersoalkan arahan majikan mereka. Keadaan ini disebabkan maklumbalas yang negatif dan tidak membina daripada majikan kepada pekerja.

Majikan perlu melibatkan pekerja dalam pembuatan keputusan, memberi lebih maklumbalas yang positif, memberi ganjaran kepada hasil kerja yang baik dan sebagainya bagi mengelakkan permasalahan ini dari terus berlaku.

4. Sumber Yang Tidak Lengkap

Seumpama tukang masak yang memerlukan sudip dan kelengkapan memasak yang lain, begitu juga dengan pekerja yang memerlukan maklumat dan kelengkapan ketika menjalankan tugas mereka seperti komputer dan data-data yang diperlukan untuk menghasilkan kerja yang berkualiti.

5. Masalah Komunikasi

Masalah komunikasi antara majikan dan pekerja ini, mengakibatkan pekerja hilang fokus terhadap matlamat organisasi dan perubahan-perubahan yang hendak dilakukan oleh pihak pengurusan tertinggi.

Antara punca masalah komunikasi ini ialah kerana pekerja tidak digalakkan untuk berkongsi pandangan atau idea mereka kepada pihak atasan.

6. Pekerja Hilang Arah

Menurut Clayton Warholm, seorang pakar di dalam komunikasi berkata, di tempat kerja terdapat dua punca pekerja tidak mahir dalam melakukan kerja mereka.

Samada tugasan yang diberikan itu, tidak dijelaskan secara terperinci oleh ketua (tidak tahu apa hendak dibuat) ataupun pekerja itu tidak dilatih dengan cara yang betul tentang tugasan mereka (anda tidak tahu bagaimana untuk melakukannya).

7. Arahan Yang Melampau

Anda sedang menyiapkan projek A, namun secara tiba-tiba bos anda mengarahkan supaya anda meninggalkan seketika projek A tersebut, supaya memberikan tumpuan kepada projek B.

Apabila perkara ini berlaku, pekerja akan berfikir bahawa kerja mereka akan tergendala dan agak tidak adil kerana kerja diberikan tanpa mengira keadaan pekerja terlebih dahulu.

Sesetengah pekerja senang untuk dibawa berbincang dan serasi dengan arahan yang baru dan teruja untuk melakukan tugasan baharu. Oleh yang demikian, elakkan menggandakan tugasan kepada pekerja anda selagi ia boleh dielakkan, kerana ia akan mengganggu fokus perkerja kepada tugasan yang pertama diberi kepada mereka.

8. Pekerja ‘Burned Out’

Merujuk kepada website American Psychological Association, burnout ialah keletihan emosi yang disebabkan oleh tekanan yang teruk di tempat kerja.

Ia mungkin disebabkan suasana tempat kerja yang negatif seperti pekerjanya sering bergaduh dan ada yang bermusuhan antara satu sama lain, tertekan dengan deadline yang ketat, jangkaan dan harapan yang terlalu tinggi terhadap sesuatu perkara, kerisauan dan melakukan kerja yang tidak sepadan dengan kemampuan.

Semua ini merupakan punca berlakunya pekerja yang menghidap penyakit kronik disebabkan tekanan perasaan mereka.

9. Tiada Ruang Untuk Kehidupan Peribadi

Pekerja juga mempunyai kehidupan peribadi dan masalah-masalah tertentu. Pekerja yang gembira adalah pekerja yang seimbang dalam melaksanakan tugasannya. Organisasi yang berjaya ialah organisasi yang mempunyai dasar yang fleksibel, bergantung kepada keadaan hidup pekerjanya.

Ada yang mempunyai anak kecil, ada yang tinggal jauh dari tempat kerja dan ada yang perlu bekerja mengikut masa yang anjal. Kenalpasti suasana kerja yang paling optimum untuk setiap pekerja supaya pekerja selesa ketika melakukan tugasan mereka, dan elakkan terlalu rigid kepada pekerja dengan memberi arahan yang mengganggu masa peribadi mereka.

Menurut kajian yang telah dilakukan,syarikat-syarikat terbaik di Asia ialah yang paling memudahkan proses dengan hasil yang optimum. Islam juga melarang umatnya menyukarkan sesuatu perkara yang boleh dipermudahkan.

Mudahkan pekerja mendapatkan apa yang mereka perlu, dan pekerja akan mempermudahkan syarikat mencapai matlamat utama syarikat. Jadilah majikan yang disayangi oleh pekerja, secara tidak langsung ia akan meningkatkan prestasi syarikat kerana keprihatinan terhadap para pekerja.

 

Tulisan asal : Bina Insan

 

Baca Sini : Bagaimana Mengemudi Bisnes Gaya Korporat Cara Gen-Y.

 

Jangan lupa untuk LIKE dan FOLLOW Facebook Tukang Fikir untuk mengikuti segala perkembangan terbaru dan juga ilmu bisnes random yang di olah dengan gaya bersandar.

Facebook Comments